Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam (PA) telah menyertai beberapa acara semasa Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) Minggu Tenaga yang telah diadakan pada 15 hingga 18 Jun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC), Berakas. Salah satu acara yang disertai ialah acara pameran, yang bertujuan untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran mengenai peranan pengawalseliaan PA dalam sektor huluan dan hiliran. Selain daripada itu, beberapa aktiviti juga disediakan seperti ‘Photo Hunt Challenge’ dan kuiz berkaitan industri minyak dan gas.

Salah satu aktiviti utama ialah sesi PA Coffee Chat. Diadakan disepanjang acara empat hari tersebut di Pavilion Tenaga, Dewan Plenari, beberapa orang tetamu jemputan khas menyampaikan topik-topik menarik sebagai sebahagian daripada pembelajaran sosial, rangkaian dan berkongsi pandangan serta idea.

Pada sesi Coffee Chat yang pertama, Dayang Rodziah binti Haji Adnan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Dr Stefan Godeke dari Universiti Brunei Darussalam membincangkan mengenai penyelesaian kelestarian alam sekitar untuk masa depan yang hijau. Seterusnya, Dayang Nani Latif dan Awang Haji Yusrin Salleh dari Perdana Solutions Sdn Bhd menyentuh mengenai ‘Potensi Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) dalam Peralihan Tenaga’ yang diinspirasikan oleh keperluan dan peluang yang berkaitan dengan penyahkarbonan sektor tenaga dan penyelesaian kepada hal ehwal mengenai carbon capture dan penyimpanan karbon.

Dalam sesi yang lain, Dayang Fatin Ariffin dari Young Entrepreneurs Association of Brunei Darussalam dan Dayang Siti Noraspadiyah, Pengasas Bersama Young Professionals Network Brunei telah mengongsikan tips kejayaan mereka sebagai pemimpin belia, dimana mereka telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada masyarakat. Manakala Awg Iswandy bin Ahmad dari Akademi Perspektif Insan dan Awang Haji Kula bin Haji Metasan dari PA bertukar pandangan mengenai upskilling dan reskilling kemahiran yang merupakan kunci utama dalam memastikan masa depan yang terjamin.

Para pengunjung juga berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan penceramah jemputan yang menghadiri Simposium Tenaga dan Seminar Tenaga, iaitu Dayang Rachel Calvert dari S&P Global dan Dr Chan Yanjun dari International SOS, Malaysia.

Dikenali dengan kepakaran berkaitan media sosial, figura media sosial Awang Rano Iskandar dari Ranoadidas.com dan Awang Gzul Yusof, mengongsikan idea untuk meningkatkan kandungan dan keberkesanan media sosial untuk organisasi atau platform media sosial persendirian, termasuk cara untuk memberikan impak yang bermakna, cabaran – cabaran yang dihadapi dan bagaimana mereka menangani pelbagai halangan dalam penggunaan media sosial.

Sementara itu, Dayang Norhayati binti Dato Paduka Haji Omar dari PA dan Awang Reeda Malik dari Print Plus Sdn Bhd turut berkongsi pengalaman mereka melalui sesi Coffee Chat bertajuk ‘Peralihan Kerjaya: Kisah Kehidupan bagi Profesional Industri’, dimana antaralain yang dikongsikan ialah mengenai cabaran yang mereka hadapi, motivasi disebalik perubahan dan pengorbanan yang dibuat dalam mengatasi apa jua cabaran.

Perkongsian mengenai Tinjauan Ekonomi Brunei: Industri Minyak dan Gas disampaikan oleh Dr Wee Chian Koh, dari Pusat Kajian Strategik dan Dasar, dan Awang Rady Roswanndy bin Haji Roslan dari PA. Kedua-duanya berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai prospek ekonomi dalam industri minyak dan gas.

Sebagai penutup sesi Coffee Chat, Pg Hajah Adimasyaton binti Pg Haji Omar Ali dari PA dan Dayang Chloe Liew dari Schlumberger mengongsikan strategi, pengalaman dan pertumbuhan peribadi mereka sebagai pemimpin wanita yang dinamik dalam industri minyak dan gas.