Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan Akta Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam yang telah bermula pada 31 December 2019. Akta Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam antara lainnya memperuntukkan bagi penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, Lembaganya, dan perkara-perkara yang berkaitan dengan operasi, fungsi dan tugas Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.
Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah badan berkanun yand ditugaskan oleh Kementerian Tenaga untuk mengawalselia dan menyelia operasi dan infrastruktur dalam sektor huluan (upstream), pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream) minyak dan gas, dan bertindak sebagai penjaga data petroleum di Negara Brunei Darussalam.
Penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam merupakan tonggak penting dalam Pembangunan sektor minyak dan gas Negara Brunei Darussalam dengan menyumbang kepada persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi sektor minyak dan gas. Penyatuan fungsi pengawalseliaan operasi bagi semua sektor minyak dan gas dalam entiti tunggal adalah bertujuan untuk menyelaraskan operasi dan memberikan kejelasan kepada perniagaan dan bakal pelabur untuk pertumbuhan dan kepelbagaian industri minyak dan gas. Badan berkanun itu juga akan menjadi sumber teknikal kepada Kerajaan dalam hal ehwal petroleum.
Badan ini akan bertindak sebagai cabang operasi Kementerian Tenaga untuk menyelaraskan pembangunan sektor petroleum ke arah keselamatan tenaga jangka panjang dan memastikan eksploitasi dan pembangunan sumber minyak dan gas negara yang berhemat dan mampan, mengikut hala tuju strategik yang ditetapkan oleh Kementerian. Antara peranan utamanya ialah pemantauan, pembangunan dan pelaksanaan garis panduan dan piawaian teknikal bagi meningkatkan nilai yang diperoleh daripada sektor ini. Ini menyokong sektor minyak dan gas yang lebih berdaya tahan untuk pembangunan ekonomi jangka panjang.
Sebahagian daripada fungsi operasi yang berkaitan dengan sektor minyak dan gas di bawah Kementerian Tenaga bergabung dengan fungsi pengawalseliaan operasi dari PetroleumBrunei di bawah Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam. Oleh itu PetroleumBrunei akan berfungsi sebagai entiti komersial tanpa peranan pengawalseliaan yang bercanggah.
Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam ditadbir oleh Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Menteri Tenaga dan setrusnya terdiri daripada Timbalan Menteri Tenaga selaku Timbalan Pengerusi; Setiausaha Tetap (Dasar dan Fiskal) dan Setiausaha Tetap (Pelaburan) daripada Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahandan dan Profesional); Kementerian Pembangunan; dan Setiausaha Tetap (Tenaga), Kementerian Tenaga. Setiausaha Tetap (Tenaga) juga berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Sementara.