Autoriti Petroleum Brunei Darussalam (PA) telah menganjurkan Bengkel Peralihan Tenaga Huluan yang menampilkan penceramah dari United Kingdom yang telah berlangsung di Dewan Seri Kerna, SEAMEO-VOCTECH, Gadong pada 20 Jun 2023.
Hadir bagi memberikan ucapan alu-aluan adalah Yang Mulia Mohammad Nizam bin Haji Ismi, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri selaku Tetamu Kehormat. Beliau antara lain menekankan mengenai hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom yang secara berterusan memupuk pertumbuhan dan kemakmuran dalam pelbagai bidang termasuk Sektor Tenaga.
Bengkel tersebut dimulakan dengan gambaran keseluruhan sektor Tenaga Negara Brunei Darussalam oleh pegawai dari Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri.
Pembentangan itu menekankan rantaian nilai tenaga bagi kedua-dua sektor minyak dan gas huluan dan hiliran, pelepasan minyak dan gas serta projek peralihan tenaga.
Bengkel seterusnya membentangkan topik “Pengalaman dan Pelajaran UK mengenai Peralihan Tenaga Lestari” oleh Yang Mulia Alison Flower, Penasihat Tenaga Kanan Pejabat Pembangunan Komanwel Asing (FCDO), Unit Tenaga Antarabangsa Jabatan Perniagaan, Tenaga dan Strategi Perindustrian (BEIS), United Kingdom.
Seramai 40 orang peserta telah menghadiri bengkel ini. Sesi bengkel tersebut berfungsi sebagai platform untuk menimba dan bertukar pengetahuan serta best practices daripada kedua-dua negara untuk meneroka lebih lanjut peluang berpotensi bagi pembangunan tenaga lestari di Negara Brunei Darussalam dalam memastikan masa depan yang makmur.