Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam menganjurkan sesi perkongsian ilmu bersama Malaysia Petroleum Management (MPM) pada hari Rabu, 8 Mac 2023 di Bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Haji Kula bin Haji Metasan, Pemangku Pengarah Urusan Autoriti Petroleum dan Encik Rahizan bin Ahmad, Pengurus Am, Perhubungan dan Penasihat Strategik, MPM.
Bagi memperkayakan lagi sesi perkongsian ilmu antara kedua-dua pihak, sesi pagi dimulakan dengan pembentangan mengenai Autoriti Petroleum dan MPM, serta evolusi industri minyak dan gas Negara Brunei Darussalam. Sesi diikuti dengan pembentangan dari pihak MPM yang berkaitan dengan hal ehwal pengawalseliaan minyak dan gas yang berkesan seperti terma fiskal, pusingan bidaan dan pengurusan pengaturan petroleum.
Dihadiri oleh lebih 60 peserta, sesi tersebut merupakan satu platform untuk menimba dan bertukar pengetahuan teknikal dan amalan terbaik industri serta menggalakkan sebarang kerjasama lanjut diantara Autoriti Petroleum dan MPM.