Pada tahun ini, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam (PA) adalah salah satu daripada 20 buah organisasi yang turut serta dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta ahli-ahli kerabat Diraja yang lain berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri tersebut.
Acara tahunan sambutan Hari Raya Aidilfitri itu diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. Tema bagi acara tahun ini ialah “Memperkasa Penglibatan Masyarakat bagi Mendukung Wawasan Negara”. PA mewakili tema tahun ini di bawah kategori ketiga, iaitu “Ekonomi Berdaya Tahan”.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta ahli kerabat Diraja yang lain berkenan beramah mesra dan menyaksikan pameran di lobi ICC. Pemangku Pengarah Urusan PA, Yang Mulia Haji Kula bin Haji Metasan berkesempatan memberikan sembah taklimat mengenai peranan PA sebagai pengawalselia sektor huluan dan hiliran serta inisiatif-inisiatif kearah mencapai ekonomi yang mampan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengakhiri sesi ramah mesra bersama pegawai dan kakitangan PA dengan penandatanganan lembaran kenangan.
PA juga mempamerkan tayangan video mengenai sejarah dan pencapaian industri minyak dan gas setakat ini.