Pameran “Jaminan Tenaga dan Peralihan Tenaga: Hari Ini dan Seterusnya” telahpun dilancarkan pada 15 Jun 2022 sebagai salah satu daripada aktiviti Minggu Tenaga sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022). Acara yang berlangsung selama empat hari di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas tersebut meraikan sumbangan penting sektor tenaga sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi dalam membina masa depan yang lebih baik bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi merasmikan majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Major General (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tasim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri; Yang Mulia Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Kebudayaaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri.
Minggu Tenaga tahun ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kedayatahanan sektor tenaga susulan dengan keadaan pasaran tenaga global yang sentiasa berubah, yang mana tumpuan utama bagi Minggu Tenaga ialah jaminan tenaga dan peralihan tenaga. Jaminan tenaga menggariskan bekalan tenaga yang selamat, boleh dipercayai dan berterusan untuk memacu ekonomi, perniagaan dan masyarakat ke arah kemampanan tenaga manakala peralihan tenaga adalah bersangkut paut dengan komitmen negara dalam peralihan ke arah perkhidmatan tenaga yang lebih menyeluruh dan moden. Transformasi tenaga negara mengambilkira peralihan ke arah sistem tenaga rendah karbon untuk menjaga warisan alam sekitar negara. Selaras dengan tema tersebut, pameran berkenaan menyediakan akses eksklusif kepada inisiatif terkini termasuklah peluang pekerjaan tempatan dan usaha pembangunan mampan dalam sektor tenaga. Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam juga turut menyertai pameran bersama Jabatan Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), institusi-institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat pengendali industri minyak dan gas.
Melalui acara Simposium Tenaga yang telah berlangsung pada 16 Jun 2022, Minggu Tenaga pada tahun ini juga menghimpunkan pakar daripada industri dan ahli akademik, dimana pelbagai topik strategik yang berkaitan dengan tenaga telah dibincangkan dengan mendalam. Ianya bertujuan sebagai platform untuk membincangkan cabaran masa depan industri minyak dan gas di Negara Brunei Darussalam, kefahaman mengenai peralihan tenaga dan juga mengongsikan perjalanan kerjaya pemimpin-pemimpin tempatan dalam industri minyak dan gas. Seminar Tenaga juga telah berlangsung pada 17 Jun 2022 dengan objektif utama untuk memupuk perbincangan di kalangan peserta yang merangkumi pelbagai topik dan kajian kes, seperti subsurface, keselamatan, integriti aset, tenaga hijau dan teknologi yang membolehkan pertumbuhan peluang aktiviti tenaga huluan.
Acara Brunei MYCE 2022 adalah anjuran Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Lembaga Pelancongan Brunei dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, pihak berkepentingan dan agensi-agensi swasta.