Kemuncak utama Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2021 adalah Dialog Menteri – Ketua Pegawai Eksekutif yang menghimpunkan Menteri-Menteri ASEAN, pegawai-pegawai kanan dan pemimpin industri tenaga dalam perbincangan tenaga yang berimpak tinggi terhadap peralihan tenaga ASEAN, usaha penyahkarbonan dan teknologi inovatif baru muncul dalam mencapai matlamat net-zero.
Dialog ini telah diadakan pada 16 September 2021 dan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam dan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) secara maya. Dialog ini turut disertai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussein, Menteri Tenaga dan Yang Mulia Haji Azhar bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga dan Pengarah Urusan Sementara Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam. Dialog ini juga menampilkan ketua-ketua Pegawai Eksekutif yang mengambil bahagian dari sektor tenaga Negara Brunei Darussalam.
Sejajar dengan Pengerusian Brunei Darussalam bagi ASEAN, tema Dialog ini adalah “We Care, We Prepare, We Prosper,” – ia menekankan usaha ASEAN untuk mengimbangi kesan negatif perubahan iklim dan mengekalkan jaminan tenaga, kebolehcapaian, kemampuan untuk semua.
Sesi Dialog dimulakan dengan perbahasan strategik mengenai peralihan tenaga dan perubahan iklim diikuti dengan pengesanan pantas dan membolehkan penembusan tenaga yang boleh diperbaharui di ASEAN, peranan gas dan LNG dalam memacu penyahkarbonan ASEAN serta diakhiri dengan perbincangan mengenai teknologi bersih yang baru muncul dan maju bagi mencapai matlamat net-zero.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny, Menteri Tenaga dalam kenyataannya menekankan komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap perubahan iklim global dengan pelancaran Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei pada tahun 2020. Yang Berhormat Menteri Tenaga juga mengesahkan hasrat Negara Brunei Darussalam untuk mengurangkan 20% pelepasan karbon daripada sektor tenaga menjelang tahun 2025 melalui usaha dalam mempromosikan gas dan LNG sebagai sumber peralihan tenaga alternatif yang lebih bersih, integrasi tenaga yang diperbaharui, mengukuhkan kecekapan tenaga, amalan pemuliharaan dan kemajuan teknologi.
Mengenai topik memacu penyahkarbonan ASEAN, Yang Mulia Awang Haji Azhar, Pengarah Urusan Sementara Autoriti Petroleum NBD berkongsi peranan penting gas dan LNG sebagai bahan api peralihan kepada bahan api boleh diperbaharui dalam memenuhi peningkatan permintaan tenaga di Asia Tenggara kerana kebolehcapaian dan kemampuannya. Tambahan pula, sebagai sebuah negara pengeluar minyak dan gas, sektor tenaga Negara Brunei Darussalam sedang memasuki era dengan cabaran baru. Beliau menekankan kepentingan dasar domestik yang kukuh dan pelaburan antarabangsa dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran huluan dalam membuka jalan bagi membolehkan gas untuk memainkan peranan yang positif di Asia Tenggara.
Dialog ini juga menggariskan kepentingan teknologi bersih baru seperti bahan api hidrogen, Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS), dan kenderaan elektrik sebagai alternatif untuk memacu rantau ASEAN sambil terus mengikuti hala tuju dalam membendung kesan perubahan iklim.
Dalam ucapan penutupnya, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty mengulangi pandangan yang dikemukakan oleh ahli panel mengenai mengimbangi keperluan untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di Asia Tenggara dengan usaha peralihan tenaga rendah karbon dan menyatakan semula peranan Perkongsian Swasta Awam dalam pengesanan pantas dan membolehkan pembaharuan di ASEAN.