Kementerian Tenaga, Jabatan dan Badan Berkanun dibawahnya telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran, Sembahyang Fardhu Asar dan Sembahyang Sunat Hajat sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74. Majlis ini telah diadakan pada 29 Zulkaedah 1441H bersamaan 21 Julai 2020M bertempat di Masjid Ash-Shaliheen. Turut hadir pada majlis tersebut sebagai Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri Tenaga.
Turut hadir juga ialah Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap (Tenaga); Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik); pegawai kanan dari Kementerian, Jabatan Perkhidmatan Elektrik; Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan solat Sunat Hajat berjemaah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen. Majlis kemudiannya diakhiri dengan solat Fardhu Asar yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain, Penolong Ketua Imam Masjid Ash-Shaliheen. Acara ini diadakan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mencegah penularan wabak COVID-19.
Dalam Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74, menekankan pencapaian yang penting di sektor tenaga hiliran terutamanya pengeluaran produk eksport dari loji penapisan minyak dan petrokimia yang terletak di Pulau Muara Besar dan pembinaan Loji Ammonia dan Urea, Brunei Fertilizer Industries.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah memperkenankan penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam sebagai badan teknikal untuk Kementerian Tenaga bagi mengukuhkan pengawalseliaan sektor minyak dan gas. Selaras dengan Titah Baginda, Kementerian Tenaga akan terus membangunkan sektor ini untuk mengukuhkan ekonomi negara disamping memaksimumkan peluang pekerjaan untuk anak tempatan.